Friday, October 10, 2008

Penghulu Kencana


Abdul Razak bin Abd Rahman telah dilahirkan di Muar Johor pada 12 Disember 1971. Abdul Razak mendapat pendidikan awal di SK Bakri Batu 2 dan kemudiannya di SMK Dato’ Sri Amar Di Raja Muar Johor. Setelah menamatkan persekolahannya kerjaya perguruan adalah merupakan impian beliau dan telah memperoleh Sijil Perguruan Asas dalam bidang Pendidikan Muzik dari Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur. Beliau memulakan tugas sebagai seorang pendidik di SK Sungai Buaya Hulu Selangor pada tahun 1994 seterusnya berkhidmat sebagai pegawai kurikulum di Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1997. Atas keperluan semasa yang menitikberatkan insan berilmu beliau telah melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim Perak.
Beliau merupakan seorang guru yang aktif terutama dalam bidang muzik. Ini dibuktikan dengan melibatkan diri secara serius di peringkat sekolah mahupun di peringkat industri hiburan tanah air. Beliau banyak melibatkan diri dalam membimbing pelbagai kumpulan instrumental di sekolah seperti kumpulan Kombo, Cak Lempong kontemporari, kumpulan persembahan Rekoder, Orkestra Nusantara dan banyak lagi. Beliau juga diberi kepercayaan sebagai jurulatih kumpulan Muzik Asli pelajar kebudayaan negeri Selangor dan membuat persembahan di “International Youth Festival “ Ferriere Casa Montagna Italy. Penglibatan beliau sebagai tenaga produksi, pemuzik, penggubah serta jurulatih Orkestra Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada tahun 1999 sehingga 2008. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah muzik di Institut Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur dan sedang melanjutkan pelajaran di Peringkat Sarjana Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim Perak.

Monday, September 8, 2008

Friday, August 29, 2008

Madah Kencana

Khazanah seni irama Melayu,
Tinggalan nenek zaman berzaman,
Hadir KENCANA menghempas sayu,
Mendamba ceria tetamu taulan.
Hari gemilang diraih beria,
Semat di hati dilupa jangan,
Tanpa KENCANA menambah ceria,
Tiadalah seri majlis kelian.
Jalinan setia ikatan sendu,
Ukiran jiwa menjunjung seni,
Dendang KENCANA sentiasa merdu,
Alunan tradisi persembah diri.

Lagu-Lagu Kencana

Inang, Zapin, Masri, Asli, Joget dan Kontemporari antara adunan rentak hidangan KENCANA. Repertoire selektif mendendang tari irama tradisi yang sentiasa segar menambat sukma. Dipersembah pilihan alunan KENCANA.

1. Aladom
2. Ayam Den Lapeh
3. Empat Dara
4. Ketipang Payung
5. Rancak Bertemu
6. Inang Kampung
7. Pandang-Pandang Jeling-Jeling
8. Sekapur Sirih
9. Maafkan Kami
10. Gambus Jodoh
11. Selamat Pengantin Baru
12. Joget Spectacular
13. Johor Sports Club
14. Joget Pucuk Pisang
15. Joget Serampang Laut
16. Joget Pahang
17. Joget Kenangan Manis
18. Nujum Pak Belalang
19. Sirih PInang
20. Tari Tualang Tiga
21. Anak Ikan
22. Gunung Payung
23. Zapin Rindu-Rinduan
24. Kancing Suasa
25. Canggung
26. Tanjung Puteri
27. Tudung Periuk
28. Inang Cina
29. Cenderawasih
30. Azizah

Pendukung Kencana

Adik Amirah Hakimah berumur 11 tahun merupakan pemain violin cilik kumpulan KENCANA. Tarian penggeseknya mengalun dondang pujangga menggamit sendu nurani.

Saudara Abd. Razak M. merupakan pemuzik Kombo PDRM dan pemain flut kumpulan KENCANA. Tiupan azimatnya mendendang alunan mendayu buluh perindu.

Saudara Hafitz merupakan graduan Pendidikan Muzik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris dan pemain akordian kumpulan KENCANA. Gemalai jemarinya menyusun melodi berseni mendamba jiwa.

Saudara Azizi merupakan seorang pemuzik profesional dan pemain gitar akusitik kumpulan KENCANA. Petikan hikmatnya melaras kordal menghias nada di sukma.

Saudara Abdul. Razak Abd Rahman. merupakan graduan Pendidikan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan pemain gitar bes kumpulan KENCANA. Sentuhan mistiknya menyingkap erti nada merencana lagu menyelam lubuk hati.

Saudara Syahariman merupakan graduan Pendidikan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan pemain perkusi kumpulan KENCANA. Hayunan tangannya menambah seri irama pelengkap rentak.

Saudara Zaini merupakan seorang pemuzik profesional dan pemain gendang kumpulan KENCANA. Paluan rancaknya mengemudi rentak mencorak ceria suasana.